Adalah diperakui dan disokong sistem ataupun kaedah pemberian subsidi yang ada sekarang ini dikaji supaya ianya tidak terrus berlanjutan. Ini adalah kerana sebarang pemberian subsidi harus hanya dinikmati oleh kumpulan miskin dan sedarhana sahaja, bukannya golongan kaya raya apatah lagi diberikan secara terus kepada syarikat-syarikat. Malangnya, sistem terpakai sekarang tidak membezakan yang miskin atau kaya mahu pun orang asing yang datang ke sini, kerana itu mereka boleh saja membeli barangan yang bersubsidi itu tanpa sebarang halangan.
Jelas sekali apa yang perlu dilakukan ialah menutup segala kebocoran yang ada selain melaksanakan kaedah yang boleh menentukan hanya rakyat yang memerlukannya menikmatinya.
Dalam usaha menyelaraskan sistem ini, subsidi sosial dan subsidi menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada golongan miskin harus diteruskan. Apa yang perlu diselaraskan hanyalah kepada elemen-elemen pengurusan atau membuat keputusan pelaburan atau pembiayaan projek yang membazirkan duit negara dan yang menjurus kepada wujudnya keadaan tidak efisien dalam penggunaan pendapatan negara.
Untuk itu kerajaan mestilah menentukan yang segala perbelanjaannya sama ada untuk mendapatkan bekalan ataupun untuk melaksanakan sesuatu projek pembangunan haruslah pada harga yang sepatutnya dan tidak berlebihan kerana tokok tambah yang dilakukan untuk menyediakan imbuhan kepada orang-orang yang tertentu.
Keadaan dimana nilai sesuatu projek itu ditoko tambah dan dinilai semula beberapa kali adalah merupakan sebabnya kenapa kos pembiayaan sesuatu projek itu berlipat kali ganda dan sama sekali tidak munasabah. Penjimatan seperti inilah yang perlu diutamakan kerana ianya pasti dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Ini dengan sendirinya dapat mengurangkan defisit bajetnya dan tentu tidak akan menjerumuskannya mengikut jejak apa yang sedang melanda negara Greece sekarang.
Jadi senario yang dipaparkan Idris juga tidak akan berlaku sekiranya kerajaan berjaya mengurangkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya berlaku itu hingga melebihi kemampuan kerajaan. Sebaliknya jika perkara ini, perbelanjaan melebihi bajet yang ditetapkan itu berterusan, maka penarikan subsidi pun tak ada maknanya dan tidak akan memberi sebarang kesan, kerana kerajaan yang tidak cekap akan menghabiskan kesemua pendapatan yang diperolehinya dan akhirnya negara kita tetap bankrap.
ROSLI
Penjual Ikan di atas pasar besar

No comments:
Post a Comment