Monday, May 31, 2010

Kenal pasti kuasa beli rakyat sebelum tarik subsidi


BERSEDIAKAH rakyat Malaysia menjalani kehidupan tanpa subsidi? Inilah persoalan pokok yang perlu dijawab seikhlasnya sebelum kerajaan mengumumkan keputusan muktamad mengenai pemansuhan atau penarikan subsidi untuk rakyat.

Sebelum jawapan tepat dapat diberikan untuk soalan ini, senario ekonomi semasa dan masa depan negara dan rakyat mesti dikaji terlebih dahulu.

Rakyat telah menikmati subsidi sejak bertahun-tahun lamanya. Nikmat subsidi ini menyebabkan sebahagian dari rakyat negara ini amat bertuah kerana dibantu sehingga mereka menjadi kaya raya. Golongan ini terdiri daripada 20 peratus rakyat Malaysia.


Jangan kata golongan kaya tidak pernah menikmati subsidi. Mereka menikmati subsidi yang terlalu banyak sehingga menjadi kaya raya kerananya. Subsidi yang dinikmati oleh mereka itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos operasi perniagaan mereka bahkan diselewengkan sehinggakan seterusnya memberikan mereka keuntungan yang lebih besar. Boleh dikatakan kerana pemberian subsidi yang terlalu besar itulah menyebabkan mereka, golongan kroni-kroni UMNO itu berjaya menambahkan keuntungan syarikat-syarikat mereka saban tahun sehinggakan peningkatan kekayaan mereka meningkat begitu cepat. Buktinya, kajilah golongan terkaya di Malaysia yang dilaporkan pada minggu lalu meningkat kekayaan mereka sebanyak 42 peratus dalamasa setahun!


Itu golongan yang benar-benar terkaya di Malaysia, bagaimana pula yang tidak termasuk dalam kategori tersebut tetapi masih boleh dikatakan terlalu kaya berbanding rakyat biasa yang hanya berpendapatan isi rumah kurang dari RM5000 sebulan. Bukankah mereka juga dapat menikmati subsidi?


Yang kesiannya adalah bagi rakyat marhaen yang terdiri daripada golongan berpendapatan isi rumah kurang dari RM5000 sebulan. Apatah lagi yang berpendapatan dari RM700 sebulan. Tidak kesiankah kita semua terhadap mereka yang kurang bernasib baik itu? Memang benar mereka juga menikmati subsidi, tetapi subsidi yang mereka gunakan dan dapati hanyalah semata-mata untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan harian sahaja, itupun kena fikir sepuluh kali sebelum mmbeli itu ini. Bagi mereka subsidi bukanlah caranya untuk mereka menjana keuntungan besar, apatah lagi untuk menghasilkan kekayaan.


Oleh itu mereka amt mengharapkan subsidi makanan, kesihatan, pendidikan, minyak petrol yang mereka nikmati selama ini dapat diteruskan macam biasa, untuk meneruskan kehidupan mereka macam biasa. Jika tidak, maka akan menyebabkan mereka berada dalam kegawatan yang melampau dan berada dalam keadaan yang terlalu memeritkan untuk terus hidup, sedangkan sejak dari dahulu dan kini ada yang hanya makan berlaukkan siput babi seperti yang dinyatakan dalam siri bersama-mu di TV3 itu. Oleh itu, cuba bayangkanlah apa akan yang berlaku kepada rakyat Malaysia yang berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan, jika subsidi makanan, kesihatan, pendidikan, minyak petrol ditarik balik?


Tiga perkara yang pasti merunsingkan fikiran mereka adalah pertama, harga barang keperluan yang sentiasa naik tanpa henti. Kedua, harga barangan-barangan lain yang berkait rapat dengan barangan yang mendapat subsidi, juga akan turut naik harga.


Ketiga, harga barangan yang tidak berkait langsung dengan barangan subsidi juga berkemungkinan besar akan meningkat.


Jadi, sudah tentunya akan berlaku pengurangan kuasa beli yang ketara antara sebelum dan selepas subsidi ditarik! Cukup jelas sekali kuasa beli rakyat bawahan yang berpendapatan rendah dan dibawah paras kemiskinan dengan pendapatan dibawah RM1000 sebulan, tentunya merudum.


Ini di pihak rakyat, bagaimana pula di pihak kerajaan? Dilaporkan bahawa Malaysia akan terjerumus ke kancah muflis pada 2019 jika mempunyai hutang dan subsidi yang tinggi. Ini bermakna, setahun sebelum rakyat Malaysia ternanti-nanti tarikh keramat 1 Januari 2020 sebagai negara maju, rupa-rupanya muflis yang akan berlaku ekoran terlalu banyak hutang dan subsidi.


Jadi, bagaimana untuk mengelak negara daripada muflis? Strategi paling ampuh adalah mengurangkan defisit negara pada tahap di bawah tiga peratus. Namun, bagaimana defisit dapat dikurangkan pada tahap tersebut tanpa mengurangkan atau memansuhkan subsidi?


Ada yang mencadangkan agar dilaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk menambah perolehan kerajaan melalui cukai. Tetapi sekali lagi, adakah rakyat bersedia menerima sistem cukai terbaru ini? Bukankah ianya sama sahaja kesannya, iaitu menyusahkan rakyat terbawah yang berpendapatn isi rumah kurang dari RM1500 sebulan!

Satu lagi cara adalah mengenaikan cukai keuntungan berlebihan supaya mana-mana syarikat yang terlalu banyak mendapat keuntungan itu dikenakan cukai yang sepatutnya bersepadanan dengan keuntungan yang mereka perolehi. Strategi ini pastinya lebih baik dan lebih berkesan berbanding dengan kaedah mengenakan GST. Tetapi cukupkah hanya dengan strategi itu?


Kerajaan perlu mempunyai lebih banyak strategi seperti membelanjakan wang secara berhemah agar projek-projek kerajaan benar-benar berada pada kos yang sepatutnya dan tidak berlebihan dari yang telah dirancangkan. Kerajaan juga janganlah lagi melaksanakan program menyelamatkan syarikat-syarikat besar yang bermasalah, kerana ianya hanya menyebabkan kerajaan menanggung kos yang begitu tinggi.


Kerajaan patut menumpukan perhatian untuk mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak perlu dan bermewah-mewah supaya negara tidak menghadapi masalah seperti yang kita hadapi sekarang ini dan tentunya tindakan sedemikian akan menyelamatkan negara dan rakyat tidak terpaksa menanggung beban akibat kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan atau syarikat-syarikat besar..


Berkaitan dengan hutang negara. Fokus kerajaan patut lebih tertumpu ke arah hutang pihak swasta. Sudah sampai masanya, sektor swasta perlu berhemah dalam mengurus hutang-hutang mereka. Jangan amalkan cara perniagaan di negara-negara Barat. Lebih-lebih lagi sektor swasta merupakan pemacu utama ekonomi negara pada masa akan datang.


Untuk menjadikan sektor swasta lebih cekap dan berdaya saing, subsidi untuk sektor swasta perlu ditarik balik terutama melibatkan syarikat-syarikat konglomerat yang memperoleh keuntungan beratus-ratus juta dan berbilion-bilion ringgit.


Rumusannya, kuasa beli majoriti rakyat Malaysia yang seramai 80 peratus adalah faktor terpenting sebelum penarikan subsidi dilakukan oleh kerajaan. Tingkatkan dahulu pendapatan mereka ke tahap tertinggi dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, maka barulah difikirkan mengenai penarikan subsidi secara berperingkat yang diberikan kepada mereka selama ini.


Hishamuddin Yusoff

Malaysian Association of Tax Accountant

No comments:

Post a Comment