Monday, May 31, 2010

Mansuhkan subsidi barangan bukan pengguna


KUALA LUMPUR 31 Mei - Kerajaan wajar menimbang memansuhkan subsidi ke atas barangan bukan pengguna, kata seorang pemaju hartanah.

"Kita mahu mengurangkan subsidi ke atas petrol, bekalan elektrik, gula dan tepung, tetapi jika anda lihat industri perumahan, kita membayar banyak wang untuk subsidi. Kita memberi subsidi kepada Tenaga Nasional dan Syabas untuk infrastruktur dan kita juga memberi subsidi untuk pembinaan jalan," kata Pengarah Kumpulan See Hoy Chan, Datuk Teo Chiang Kok.

Chiang Kok yang juga bekas Presiden Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) berkata, kerajaan tidak wajar memberi terlalu banyak tumpuan terhadap mengurangkan subsidi ke atas barangan pengguna, malah patut menimbang gambaran keseluruhannya.

Beliau mengulas cadangan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat seperti pelan tindakan rasionalisasi subsidi lima tahun kerajaan yang diumumkan minggu lepas oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Langkah itu dijangka menjimatkan kerajaan kira-kira RM103 bilion dalam tempoh itu.

Chiang Kok berkata, langkah kerajaan untuk mengurangkan subsidi secara berperingkat-peringkat merupakan langkah bijak, namun ia mesti dilakukan secara perlahan-lahan supaya peserta industri dapat menyesuaikan kos, bajet, harga dan gaji.

"Mengurangkan subsidi akan menyebabkan perubahan dalam sistem harga dan barangan besar seperti perumahan yang akan menerima impak yang besar.

"Kami mahu kerajaan mengurangkan subsidi secara perlahan-lahan, supaya tidak berlaku kejutan dalam sistem," katanya pada sidang media selepas perbincangan pagi FIABCI di sini, hari ini. -- Bernama

No comments:

Post a Comment